Pemahaman

Petikan Pemahaman 2 - Catatan

Arahan : Baca catatan harian di bawah, kemudian jawab soalan-
         soalan yang berikutnya.



9.15 pagi - Ketua pengawas masuk ke kelas kami. Ketika itu guru kelas tiada. Kami sedang menyiapkan latihan Matematik. Dia memanggil namaku dan meminta aku segera ke pejabat Guru Besar. Hatiku berdebar-debar. Apakah salahku? Adakah kerana aku datang
lewat atau menconteng dinding bilik air?


9.20 pagi - Aku memberi salam lalu Guru Besar menjemputku masuk ke biliknya. Guru Besar meminta aku supaya bertenang. Ayah kamu terlibat dalam kemalangan, beritahu Guru Besar. Aku terduduk. Aku menahan sebak di dada. Macam-macam pertanyaan bermain di benakku. Cedera parahkah keadaan ayah? Sekarang ini banyak pula kemalangan maut berlaku, fikirku lagi.


9.30 pagi - Cikgu Izan, guru hal ehwal murid membawaku ke hospital. Dalam perjalanan aku membisu sahaja. Fikiranku bercelaru.


10.30 pagi - Kami sampai di wad. Ibu dan sanak-saudara yang rapat telah sampai. Aku meluru ke arah ibu dan memeluknya. Ayahmu agak parah, beritahu ibu. Aku menangis tersedu sedu.


11.00 pagi : Jururawat membenarkan aku dan ibu masuk ke dalam wad. Ayah terlantar di atas katil. Kaki dan kepala ayah berbalut. Kupegang tangan ayah. Kurenungi wajah yang pucat lesi itu. Air mataku mengalir deras. Kulihat ibu mengesat air matanya.


12.00 tengah hari : Ayah membuka matanya. Syukurlah ayah telah sedar daripada pengsan. Ibu memberitahu ayah bahawa kakinya patah dan kepalanya luka sedikit akibat kemalangan itu. Ayah kelihatan tenang sahaja tetapi sekali sekala wajahnya berkerut kerana
menahan sakit.


2.00 petang : Aku pulang ke rumah bersama Pak Cik Usin, bapa saudaraku. Pak Cik Usin memberitahuku bahawa motosikal ayah telah bergesel dengan kereta. Ayah terjatuh dan kakinya tertampan tiang lampu.


1 Kenapakah perasaan penulis berdebar-debar apabila mengetahui Guru Besar memanggilnya?
A Kerana dia bersalah menconteng dinding bilik air
B Kerana dia bersalah datang lewat ke sekolah
C Kerana tidak tahu sebab-sebab dia dipanggil
D Kerana dia bimbang telah melakukan kesalahan


2 Bagaimanakah perasaan penulis setelah mendapat berita tentang ayahnya?
A Dia berasa amat sedih
B Dia menangis hingga terduduk
C Dia cuba bertenang dan duduk
D Dia terkejut dan cuba menahan perasaan sedih


3 Maksud ‘ membisu ‘ dalam petikan di atas ialah
A menjadi bisu
B sunyi sepi
C mendiamkan diri
D menenangkan diri


4 Bagaimanakah keadaan ayah penulis akibat kemalangan itu?
A Dia tidak sedarkan diri hingga ke petang
B Kemalangan itu menyebabkan kakinya patah
C Kaki dan kepalanya berbalut
D Kakinya patah dan kepalanya luka


5 Semua ini telah menimpa penulis KECUALI
A dia sedang belajar ketika dipanggil oleh ketua pengawas
B kaki ayah penulis patah akibat tertampan dengan motosikal
C Cikgu Izan telah menghantar penulis ke hospital
D penulis bersedih atas kemalangan yang menimpa ayahnya

Selamat Mencuba !